Saturday, November 3, 2012

Jodoh.. Bilakah masaku?



Aku sentiasa memikirkan adakah si dia wujud untuk aku. Menanti setiap waktu untuk bersamamu, memegang erat tangan halus itu dan bersenda melihat senyuman yang indah itu. Sukar untuk aku melelapkan mata apabila mengenangkan dirimu, wahai serpihan 'tulang rusukku'

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suamu isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir"
~ Surah Ar-Rum: Ayat 21~

Aku bersedih bilamana manusia lain membina 'masjid' Mu. Bilakah akan tiba masaku untuk mengukuhkan lagi keimanan ini kepada diri Mu. Bukan kenikmatan dunia yang aku cari, tapi kenikmatan ketika bersama insan yang akan membawa aku ke arah syurga Mu.

Manusia sering mengatakan bahawa aku hanya menurut nafsu. Orang kahwin, kau mahu juga. Wahai sekalian manusia, jika itu kemahuan aku, tewaslah aku di dunia ini. Bukankah bila berkahwin itu telah sempurna sebahagian daripada iman.


"Siapa yang dikurniakan isteri yang solehah, bermakna beliau sudah membantu menyempurnakan iman orang itu. Oleh itu beliau pernah bertakwa kepada Allah bagi mencukupkan imannya."
 ~Hadis direkodkan At-Tabrani, Al-Hakim dan Al-Baihaqi~

Aku bukan buta hati seperti kamu yang mahukan kesenangan dunia, tapi aku mahu kesenangan hati bersama Pencipta ku yang menjadikan hati ini untuk dimiliki dan bersama menuju jalan Nya.

Namun, aku tahu bahawa kesabaran itu adalah sesuatu yang Engkau harapkan kepadaku. Supaya aku sentiasa bersyukur dan mengharapkan Engkau walau apa yang berlaku. Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku yakin dengan ketentuanMu kerana Engkau lebih mengetahui akan diri ini.

Berkata Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Allah Taala telah berfirman:
"Aku mengikut sangkaan hambaKu kepadaKu, maka terserahlah dia hendak menyangka apa yang disukainya terhadap Aku."
~ Riwayat Ibnu Abid-Dunya ~

Ya Allah, jika masa ku belum tiba untuk itu, maka Engkau hadirkan lah diri ini dengan cinta Mu yang Maha Luas itu. Bantulah diri ini merasa aman ketika mana aku dalam kejatuhan dan sedih. Berikanlah kepadaku pemahaman akan ilmu Mu. Jika Engkau menyuburkan perasaan cinta kepada seorang wanita itu, maka lindungilah aku sehingga halal bagiku untuk bersamanya.

P/S: Nasihat aku kepada manusia di luar sana, janganlah skeptikal kepada pemikiran manusia yang ingin dikasihi. Itu adalah fitrah manusia, cuma cara manusia itu yang salah. Berdoalah untuk mereka supaya dipermudahkan urusan bersama daripada memaki insan itu. Percayalah bahawa doa anda itu lebih disayangi daripada kutukan yang dilemparkan. Sesungguhnya anda juga seperti mereka, hanya cara mereka berlainan.

Aku berdoa kepada Mu (Daripada Ibnu Abbas r.a., Baginda Rasulullah S.A.W. pernah berdoa) : 
"Ya Allah, jadikanlah lubuk hatiku, pandanganku, pendengaranku, tulang dan dagingku, rambut serta di kiri dan kananku sebagai cahaya bersinar” 
 (HR Bukhari dan Muslim)


No comments:

Post a Comment