Friday, February 1, 2013

Aku Cinta Ibu Selamanya!

  Wahai ibu dan ayahku... Diri ini bukanlah anak yang sempurna buat diri mu berdua. Namun diri ini berusaha sedaya upaya untuk menjadi yang terbaik. Aku mahu mendapat keredaan kalian berdua.

Aku teringat :
Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: “ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”
                                    - Riwayat al-Hakim
-

Ayah, engkau pernah bertanya kepadaku... Wahai anakku, tidakkah kau mempunyai calon di hati untuk disunting? Bukankah ramai yang mempunyai pasangan ketika belajar di pusat pengajian tinggi?

Persoalan ayahanda itu membuat diri ini terdiam seketika. Kemudian bibir ini menutur kata, "Ayah, anakmu ini tidak mahu memikirkan bab itu buat masa ini. Biarlah ibu sahaja menjadi 'kekasihku' ketika ini. "

Aku terkedu seketika. "Dari mana datangnya tutur kata itu? Dari hati atau akal ku? Adakah ia ikhlas atau mainan kata-kata?" Atau ia adalah lafaz yang terpendam selama ini untuk ku luahkan?

Firman Allah S.W.T.  dalam surah Luqman ayat 14
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya ,ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepada ku dan kedua ibu bapamu dan ingatlah kepada Aku lah jua tempat dikembalikan untuk menerima balasan."

Walaupun semua persoalan itu muncul dalam fikiran ku.. Namun aku pasti akan satu perkara.

    "Aku mahu membahagiakan ibuku sebelum aku menemukan wanita lain sebagai pasanganku"

Kekadang aku pernah terfikir. Adakah aku mampu membahagiakan ibu setelah berumahtangga kelak? Mampukah aku mentaati ibu dengan pertambahan tanggungjawab di bahuku? Sememangnya wahai ayah. Anak mu ini takut untuk memiliki wanita lain selain ibu.

Pada zaman Rasulullah s.a.w., baginda ditanya oleh seorang pemuda, “siapakah orang yang paling perlu untuk saya berbuat baik”. Rasulullah bersabda, “ibumu, kata pemuda itu lagi, selepas itu, ibumu, selepas itu, ibumu, selepas itu, bapamu.”





Biarlah ketika ini anakmu cuba mencari cinta yang agung dahulu. Mendambakan diri untuk Dia yang Maha Kuasa. Berdoalah yang terbaik untuk diriku. Semoga mendapat keredaan dari diri kalian berdua dan Allah S.W.T.

P/S: Berusaha sedaya upaya untuk membahagiakan kedua ibu bapa. Bukan diri ini menolak sunnah Rasul yang tercinta tapi ingin membahagiakan mereka sepuasnya sebelum nafas mereka terhenti.

Friday, November 23, 2012

Sahabat... Janjimu aku genggam dalam hati

 Aku gembira menemui mu wahai sahabat. Merasakan hari ini cukup memberikan warna-warni pada kehidupan masa hadapan ku. Sudah berkali aku SMS tapi tidak berbalas. Sehingga aku terasa hati dengan perbuatan mu.

Bukan diri ini mewujudkan persahabatan untuk diputuskan. Tapi memegang erat tali sehingga ke liang lahad. Bersama kamu membuat masa aku berhenti. Namun hari ini kata-katamu membuatkan aku terharu.

Terharu dan sebak terasa di hati. Hari ini bukan niat untuk menelefon mu untuk kau angkat, tapi sekadar mencuba setelah mesej ku tidak berbalas sekian lama. Mungkin kesibukan membuatkan dirimu menjauhi aku. Aku kuatkan hati ini menaip nombor mu.

Suara mu yang membuatkan hati ini gembira. Kau membawa aku berjalan di sekitar UIAM. Bila aku bersama mu, kau kata... "tanyalah aku apa sahaja. hari ini aku buka soalan tentang diriku"

Bukan itu persoalan di hati. Namun, ku kuatkan diri bertanya sebab dia menghilang dari ku. Berpuluh  kemaafan ku pinta sekiranya aku bersalah. Namun bukan salah mu, ucapnya.

Aku berbuka puasa dengan ikhsan belanja darinya. Dia mula membuka bicara tentang novel tulisan Hilal Asyraf,

"Seorang sahabat yang mengemukan janji dua perkara kepada sahabat nya. Pertama: Janji kepadaku bahawa kau akan sentiasa mendoakan aku. Kedua: Sedarkan aku ketika aku jatuh. Persahabat mereka terputus mengikut arus waktu tapi janji sahabat untuk mendoakan diri rakannya itu sentiasa diutuskan. Hanya janji yang kedua itu tidak tertunai. Akhirnya, suatu malam sahabat itu bermimpi bahawa rakannya itu telah terjatuh ke persimpangan yang lain. Kini, sahabat itu sedar tanggungjawab janji kedua perlu ditepati. Bermulalah kisah sahabat itu mengubah rakannya yang terjatuh itu"

Seperti novel itu, dia mengemukan satu janji kepada ku. Aku berharap agar kau jangan berputus asa dengan aku. Janji ini aku yakin akan kau penuhi. Satu ungkapan yang menyebabkan hati ini sebak.

Malam ini merupakan satu kebahagian kepada aku; bertemu kau pada malam 10 muharam dan lafaz kata kau kepada ku. Inilah janji yang terbesar pernah aku ucapkan pada seseorang.

P/S: Tangan aku sentiasa di atas tangan mu. Tidak terlintas erti putus asa kepada mu. Kau katakan  aku kuat. Tapi kau dengarlah, Allah tidak suka kepada orang yang berputus asa dan itulah kekuatan aku. Bila jatuh, ku ingat kembali kebencian Allah itu. Maka bangunlah aku berdiri kembali. Bukan sifat aku mengalah itu tapi mungkin kau yang mengalah kepada ku.