Showing posts with label Hati. Show all posts
Showing posts with label Hati. Show all posts

Friday, February 1, 2013

Aku Cinta Ibu Selamanya!

  Wahai ibu dan ayahku... Diri ini bukanlah anak yang sempurna buat diri mu berdua. Namun diri ini berusaha sedaya upaya untuk menjadi yang terbaik. Aku mahu mendapat keredaan kalian berdua.

Aku teringat :
Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: “ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.
                                    - Riwayat al-Hakim
-

Ayah, engkau pernah bertanya kepadaku... Wahai anakku, tidakkah kau mempunyai calon di hati untuk disunting? Bukankah ramai yang mempunyai pasangan ketika belajar di pusat pengajian tinggi?

Persoalan ayahanda itu membuat diri ini terdiam seketika. Kemudian bibir ini menutur kata, "Ayah, anakmu ini tidak mahu memikirkan bab itu buat masa ini. Biarlah ibu sahaja menjadi 'kekasihku' ketika ini. "

Aku terkedu seketika. "Dari mana datangnya tutur kata itu? Dari hati atau akal ku? Adakah ia ikhlas atau mainan kata-kata?" Atau ia adalah lafaz yang terpendam selama ini untuk ku luahkan?

Firman Allah S.W.T.  dalam surah Luqman ayat 14
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya ,ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepada ku dan kedua ibu bapamu dan ingatlah kepada Aku lah jua tempat dikembalikan untuk menerima balasan."

Walaupun semua persoalan itu muncul dalam fikiran ku.. Namun aku pasti akan satu perkara.

    "Aku mahu membahagiakan ibuku sebelum aku menemukan wanita lain sebagai pasanganku"

Kekadang aku pernah terfikir. Adakah aku mampu membahagiakan ibu setelah berumahtangga kelak? Mampukah aku mentaati ibu dengan pertambahan tanggungjawab di bahuku? Sememangnya wahai ayah. Anak mu ini takut untuk memiliki wanita lain selain ibu.

Pada zaman Rasulullah s.a.w., baginda ditanya oleh seorang pemuda, “siapakah orang yang paling perlu untuk saya berbuat baik”. Rasulullah bersabda, “ibumu, kata pemuda itu lagi, selepas itu, ibumu, selepas itu, ibumu, selepas itu, bapamu.”





Biarlah ketika ini anakmu cuba mencari cinta yang agung dahulu. Mendambakan diri untuk Dia yang Maha Kuasa. Berdoalah yang terbaik untuk diriku. Semoga mendapat keredaan dari diri kalian berdua dan Allah S.W.T.

P/S: Berusaha sedaya upaya untuk membahagiakan kedua ibu bapa. Bukan diri ini menolak sunnah Rasul yang tercinta tapi ingin membahagiakan mereka sepuasnya sebelum nafas mereka terhenti.

Friday, November 23, 2012

Sahabat... Janjimu aku genggam dalam hati

 Aku gembira menemui mu wahai sahabat. Merasakan hari ini cukup memberikan warna-warni pada kehidupan masa hadapan ku. Sudah berkali aku SMS tapi tidak berbalas. Sehingga aku terasa hati dengan perbuatan mu.

Bukan diri ini mewujudkan persahabatan untuk diputuskan. Tapi memegang erat tali sehingga ke liang lahad. Bersama kamu membuat masa aku berhenti. Namun hari ini kata-katamu membuatkan aku terharu.

Terharu dan sebak terasa di hati. Hari ini bukan niat untuk menelefon mu untuk kau angkat, tapi sekadar mencuba setelah mesej ku tidak berbalas sekian lama. Mungkin kesibukan membuatkan dirimu menjauhi aku. Aku kuatkan hati ini menaip nombor mu.

Suara mu yang membuatkan hati ini gembira. Kau membawa aku berjalan di sekitar UIAM. Bila aku bersama mu, kau kata... "tanyalah aku apa sahaja. hari ini aku buka soalan tentang diriku"

Bukan itu persoalan di hati. Namun, ku kuatkan diri bertanya sebab dia menghilang dari ku. Berpuluh  kemaafan ku pinta sekiranya aku bersalah. Namun bukan salah mu, ucapnya.

Aku berbuka puasa dengan ikhsan belanja darinya. Dia mula membuka bicara tentang novel tulisan Hilal Asyraf,

"Seorang sahabat yang mengemukan janji dua perkara kepada sahabat nya. Pertama: Janji kepadaku bahawa kau akan sentiasa mendoakan aku. Kedua: Sedarkan aku ketika aku jatuh. Persahabat mereka terputus mengikut arus waktu tapi janji sahabat untuk mendoakan diri rakannya itu sentiasa diutuskan. Hanya janji yang kedua itu tidak tertunai. Akhirnya, suatu malam sahabat itu bermimpi bahawa rakannya itu telah terjatuh ke persimpangan yang lain. Kini, sahabat itu sedar tanggungjawab janji kedua perlu ditepati. Bermulalah kisah sahabat itu mengubah rakannya yang terjatuh itu"

Seperti novel itu, dia mengemukan satu janji kepada ku. Aku berharap agar kau jangan berputus asa dengan aku. Janji ini aku yakin akan kau penuhi. Satu ungkapan yang menyebabkan hati ini sebak.

Malam ini merupakan satu kebahagian kepada aku; bertemu kau pada malam 10 muharam dan lafaz kata kau kepada ku. Inilah janji yang terbesar pernah aku ucapkan pada seseorang.

P/S: Tangan aku sentiasa di atas tangan mu. Tidak terlintas erti putus asa kepada mu. Kau katakan  aku kuat. Tapi kau dengarlah, Allah tidak suka kepada orang yang berputus asa dan itulah kekuatan aku. Bila jatuh, ku ingat kembali kebencian Allah itu. Maka bangunlah aku berdiri kembali. Bukan sifat aku mengalah itu tapi mungkin kau yang mengalah kepada ku.

Saturday, November 3, 2012

Jodoh.. Bilakah masaku?



Aku sentiasa memikirkan adakah si dia wujud untuk aku. Menanti setiap waktu untuk bersamamu, memegang erat tangan halus itu dan bersenda melihat senyuman yang indah itu. Sukar untuk aku melelapkan mata apabila mengenangkan dirimu, wahai serpihan 'tulang rusukku'

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suamu isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir"
~ Surah Ar-Rum: Ayat 21~

Aku bersedih bilamana manusia lain membina 'masjid' Mu. Bilakah akan tiba masaku untuk mengukuhkan lagi keimanan ini kepada diri Mu. Bukan kenikmatan dunia yang aku cari, tapi kenikmatan ketika bersama insan yang akan membawa aku ke arah syurga Mu.

Manusia sering mengatakan bahawa aku hanya menurut nafsu. Orang kahwin, kau mahu juga. Wahai sekalian manusia, jika itu kemahuan aku, tewaslah aku di dunia ini. Bukankah bila berkahwin itu telah sempurna sebahagian daripada iman.


"Siapa yang dikurniakan isteri yang solehah, bermakna beliau sudah membantu menyempurnakan iman orang itu. Oleh itu beliau pernah bertakwa kepada Allah bagi mencukupkan imannya."
 ~Hadis direkodkan At-Tabrani, Al-Hakim dan Al-Baihaqi~

Aku bukan buta hati seperti kamu yang mahukan kesenangan dunia, tapi aku mahu kesenangan hati bersama Pencipta ku yang menjadikan hati ini untuk dimiliki dan bersama menuju jalan Nya.

Namun, aku tahu bahawa kesabaran itu adalah sesuatu yang Engkau harapkan kepadaku. Supaya aku sentiasa bersyukur dan mengharapkan Engkau walau apa yang berlaku. Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku yakin dengan ketentuanMu kerana Engkau lebih mengetahui akan diri ini.

Berkata Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Allah Taala telah berfirman:
"Aku mengikut sangkaan hambaKu kepadaKu, maka terserahlah dia hendak menyangka apa yang disukainya terhadap Aku."
~ Riwayat Ibnu Abid-Dunya ~

Ya Allah, jika masa ku belum tiba untuk itu, maka Engkau hadirkan lah diri ini dengan cinta Mu yang Maha Luas itu. Bantulah diri ini merasa aman ketika mana aku dalam kejatuhan dan sedih. Berikanlah kepadaku pemahaman akan ilmu Mu. Jika Engkau menyuburkan perasaan cinta kepada seorang wanita itu, maka lindungilah aku sehingga halal bagiku untuk bersamanya.

P/S: Nasihat aku kepada manusia di luar sana, janganlah skeptikal kepada pemikiran manusia yang ingin dikasihi. Itu adalah fitrah manusia, cuma cara manusia itu yang salah. Berdoalah untuk mereka supaya dipermudahkan urusan bersama daripada memaki insan itu. Percayalah bahawa doa anda itu lebih disayangi daripada kutukan yang dilemparkan. Sesungguhnya anda juga seperti mereka, hanya cara mereka berlainan.

Aku berdoa kepada Mu (Daripada Ibnu Abbas r.a., Baginda Rasulullah S.A.W. pernah berdoa) : 
"Ya Allah, jadikanlah lubuk hatiku, pandanganku, pendengaranku, tulang dan dagingku, rambut serta di kiri dan kananku sebagai cahaya bersinar” 
 (HR Bukhari dan Muslim)


Saturday, June 16, 2012

Kelembutan Hati dan Hidayah





Aku pernah terfikir tentang suatu perkara. "Hidayah!" Semasa sekolah hingga sekarang, aku cuba menilai erti hidayah itu sendiri. Berlandaskan ilmu yang ada di dalam dada ini serta akal yang mampu berfikir dan pengalaman yang dialami sebelum ini, aku mula mentafsir sesuatu mengenai hidayah itu sendiri.

Aku tahu hidayah itu milik Allah S.W.T. Tapi pernahkah kita juga terfikir bahawa hidayah dan petunjuk Allah itu sentiasa datang mengunjungi kita dalam pelbagai bentuk dan setiap masa.

Kenapa kita tidak nampak dan mengambilnya?

Kerana itu adalah soal HATI. Hati adalah tunjang segala kebaikan atau kejahatan. Jika rosak hati itu, maka rosaklah seluruh badan yang membawanya.



"Hidayah itu seperti air. Jatuhnya ke hati yang lembut akan memudahkan ia diserap. Jatuh pada hati yang keras seperti batu, maka sia-sialah rahmat hidayah itu."

Allah itu Maha Adil. Walaupun Dia adalah pemilik hidayah sepenuhnya, namun hati manusia yang menentukan penerimaan hidayah itu.

Kita sebagai penjaga hati ini perlulah mengubah ia ke arah yang lebih baik. Kerana suatu ketika nanti di mana pemilik hati ini iaitu Allah S.W.T. akan menilai setiap perbuatan yang disebabkan oleh hati.

Oleh itu, jangan salahkan Allah kerana memilih insan untuk menerima hidayah tetapi salahkan diri kerana tidak menerima setiap petunjuk yang diberi. Dan yang paling penting adalah sentiasa bersangka baik dengan Allah S.W.T. kerana setiap sangkaan kita adalah penunjuk kekerasan hati.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

P/S: Kadang2 saya terfikir, kenapa Allah tak berikan semua manusia hidayahNya dan masukkan mereka ke dalam syurga. Kenapa perlukan neraka untuk menghukum. Alhamdulillah, persoalan ini terungkai secara sendirinya ketika sedang mengelamun.

1. Hidayah itu sentiasa ada, dan tunggu masa untuk hati meresapinya.
2. Allah jadikan dunia sebagai cabaran bagi umat manusia.
3. Sekeras mana pun hati, ia tetap akan mengubah mengikut aluran air hidayah. Cuma masa
    menentukan. Tapi ingatlah, lembutkanlah 'batu' mu itu.
4. Solat, berdoa, baca Al-Quran dan buat baik kepada org lain itu adalah cara untuk melembutkan hati
    untuk menerima hidayah bukan supaya hidayah itu datang kepada kita. Kerana hidayah itu ada
    setiap masa. Lihatlah dgn mata hati...

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Monday, April 9, 2012

Aku Bukan Ditakdirkan Menjadi Guru...

Aku tidak mempunyai rupa paras menarik seperti guru
Aku malu yang teramat sangat
Aku tidak pandai berkata-kata dengan berhikmah
Aku serba-serbi kurang
Tidak seperti para guru yang lain

Namun aku tidak akan berpuas hati selagi anak bangsaku lemah
Aku tidak mahu mereka menjadi seperti aku
Aku mahu mereka lebih baik
Aku mungkin gagal dalam mendidik
Tapi aku tahu, sayang aku pada mereka akan membawa kebaikan

Aku tahu Dia akan membantu diri.
Kerana sayang pada mereka...

Aku sanggup penat dan lelah di institusi pengajian tinggi
Semata-mata mahu mereka berjaya kelak
Menjadi buah emas pada agama dan negara
Kejayaan bukan sahaja di dunia
Malah akhirat jua

Kalau mereka tahu niat aku
Mereka akan mengerti niat guru-guru
Aku akan menangis kalu aku gagal menggembirakan dan mendidik mereka
Itu aku...
Bagaimana pula guru?
Sebak tak terkata, hanya Allah S.W.T yang mengetahui.

Aku hanya mahu menjadi abang kepada mereka
Abang yang sentiasa menjadi peneman adik-adik
Memangku ketika kau keletihan
Memimpin ketika kau keraguan

Aku cuba berharap aku menjadi abang dan guru yang terbaik
Tapi aku acap kali gagal
Gagal aku kerana Allah S.W.T.
Dia mahu aku kuat
Kuat dalam mengerti erti hidup

Aku hanya berharap...
Mereka membawa perubahan
Kepada agama dan negara
Ke arah yang lebih baik

Sunday, July 24, 2011

Antara Cinta, Kasih, Sayang dan Suka

Jiwa aku bergolak bila memikirkan satu kata yang membawa pelbagai makna dan erti yang tersirat. Dalam benak hati ini hanya tertumpu pada satu 'jasad' yang menghidupkan perasaan ini.

                    "HATI"

Mudah untuk engkau melahirkan rasa cinta, sayang dan suka. Namun, tahukah engkau bahawa aku terseksa kerana itu. Cubalah engkau mengerti aku untuk sekali wahai hati. Setiap saat engkau menggunakan jasad ini. Tidakkah engkau cuba untuk merehatkan aku?

Wahai hati. Engkau tetap sentiasa bersamaku. Berduka dan bersenang bersama. Mencari pelbagai nilai dunia ini. Dakapan engkau bersama jiwa ini telah membuatku 'sakit' menderita. Derita kerana kasih sayang yang diberikan. Sukar diluahkan dengan butiran kata dari bibirku. Namun, aku percaya engkau memahaminya.

Sedarkah engkau wahai hati? Engkau telah membuatkan diri ini berendam dengan tangisan. Kadangkala, aku merasa 'benci' pada engkau. Membuatkan diri ini rasa bersalah pada sesuatu yang teguh. Teguhnya ibarat akar yang mengikat pohonan. Aku menyangka engkau adalah air. Ya! Engkau adalah air. Tapi air yang memanaskan jiwa. Huh! Benci pada pengertian seperti itu.

Namun, kehadiran engkau telah meneguhkan pohonan cinta, memutikkan buah kasih dan menyuburkan bunga kasih.

Bagiku...

{~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~}
{                                                                      }
{     Cinta bukan kepada manusia.                  }
{     Kasih untuk diriku.                                  }
{     Sayang kepada manusia                          }
{     Dan suka akan ciptaanNya.                     }
{                                                                        }
{     Bila angin menghembuskan bayunya.     }
{     Tika mana cinta menusuk kalbuku.         }
{     Itulah saat insan menerima seru.             }
{     Bersama menuju jalan Ilahi....                 }
{     Berdua selamanya.                                   }
{                                                                      }
{~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~}

Friday, July 8, 2011

Sahabat...

Ehem2!

Salam sume.

Adoi. Dah lame x menjengah blog sendiri.
Bukan aper.
Xder cerita la nak kongsi kat u all.
Haha...

Actually nak kongsi satu je.
Minggu lepas saya dpt bertemu dengan member lame.
Dah 7 tahun x jumpe.
Sekejap?
Kire lame la tu.

Ni nak berpuitis skit.

Sahabat
Dirimu begitu berharga
Tiada pengganti dirimu tika di dunia ini
Seperti ibu dan bapa yang menyayangi

Katamu adalah penenang jiwa
Tatapan mata membuat diriku kaku
Kaku dalam dunia bersamamu
Dunia yang tidak dicipta sendiri
Wujud kerana hati yang memerlukan
 
Sahabat
Aku berdoa padaNya
Semoga kita kekal bersahabat
Hilangmu dalam hatiku
Mewujudkan lubang di hatiku

Namun satu yang ku tahu
Kau dan aku 
Adalah sahabat
Selamanya...




P/S : Harap2 perhubungan kita xkan terhenti bila berpisah. Dikekalkn sehingga badan ini dikandung tanah. Insya Allah...