Monday, July 23, 2012

Hati itu sebesar kolam...

          Kesabaran itu bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Namun, kemunculannya sangat diperlukan tika dugaan mendatang. Bukan mudah hati ini untuk menerima dan bersabar dengan dugaan yang menimpa. Ingin sahaja melepaskan perasaan amarah pada sesuatu.

          Itu adalah sifat manusia yang normal. Tetapi kenormalan manusia itu juga dikira dari hati dan akhlaknya. Dugaan itu bukan datang ketika hati merelakannya. Itulah perlunya kekuatan hati dan iman di hati.

          Namun dugaan yang datang bukanlah seberat mana yang dirasa. Cuma minda yang menolaknya. Cubalah kita meredhainya dan merelakan dugaan itu datang. Biarlah ia mengalir mengikut peredaran aliran takdir. Jangan disalahkan pada pemberi dugaan itu, tapi salahkan diri ini sekiranya tidak mampu memikulnya.

Ada satu cerita ingin dikongsikan:-

"Di sebuah perkampungan, ada seorang lelaki tua. Lelaki itu sentiasa tersenyum. Tidak pernah terlihat urat-urat kedut di dahinya. Tersenyum bagai membawa khabar berita bahagia. Pada suatu hari, datang seorang pemuda yang mempunyai masalah kepadanya.

Dia mengeluh terhadap dugaan yang berlaku kepadanya. Lelaki tua itu hanya tersenyum. Seketika kemudian, dia menyuruh pemuda itu membeli dua bungkus garam dan dibawa kepadanya. Pemuda itu menurut tanpa bertanya lebih lanjut. 

Pemuda itu kemudiannya membawa barangan yang diminta. Lelaki tua itu memasukkan sebungkus garam ke dalam segelas cawan dan meminta pemuda itu meminumnya. Pemuda itu menurut perintah. Wajah pemuda itu berkerut seribu apabila meminum air itu.

Kemudian lelaki itu membawa pemuda tersebut ke sebuah kolam kecil yang jernih airnya. Dituangkan sebungkus garam ke dalam kolam itu. Lelaki tua itu menyuruh ia minum dari air kolam itu. Tersenyum ia apabila rasa air kolam itu tidak berubah sama sekali dengan keadaan asalnya. Pemuda itu tersenyum apabila lelaki itu memberinya pengajaran tentang perlakuannya itu."

Kata lelaki itu:
           "Garam itu adalah dugaan. Jika engkau kecilkan hati seperti gelas itu, maka akan binasalah rasa kemanisan hidup ini tapi apabila engkau lapangkan hati ini seperti kolam, kehidupan mu akan terasa lapang dan garam itu tidak akan berupaya merosakkan rasa kehidupan kamu ini."

P/S:
Lapangkanlah dada mu andai dugaan menimpa dan bersabarlah menerimanya. Sesungguhnya Allah S.W.T. itu tidak zalim seperti kamu menzalimi-Nya. Dia mahukan sedikit perhatian daripada hamba-Nya yang lalai itu. Berikanlah masamu sedikit mengingati Dia. Berdoalah kepada-Nya. Dialah pemberi segala nikmat, pendamai dua hati dan kekasih diri ini.

(^.^)v...

Saturday, June 16, 2012

Kelembutan Hati dan Hidayah





Aku pernah terfikir tentang suatu perkara. "Hidayah!" Semasa sekolah hingga sekarang, aku cuba menilai erti hidayah itu sendiri. Berlandaskan ilmu yang ada di dalam dada ini serta akal yang mampu berfikir dan pengalaman yang dialami sebelum ini, aku mula mentafsir sesuatu mengenai hidayah itu sendiri.

Aku tahu hidayah itu milik Allah S.W.T. Tapi pernahkah kita juga terfikir bahawa hidayah dan petunjuk Allah itu sentiasa datang mengunjungi kita dalam pelbagai bentuk dan setiap masa.

Kenapa kita tidak nampak dan mengambilnya?

Kerana itu adalah soal HATI. Hati adalah tunjang segala kebaikan atau kejahatan. Jika rosak hati itu, maka rosaklah seluruh badan yang membawanya.



"Hidayah itu seperti air. Jatuhnya ke hati yang lembut akan memudahkan ia diserap. Jatuh pada hati yang keras seperti batu, maka sia-sialah rahmat hidayah itu."

Allah itu Maha Adil. Walaupun Dia adalah pemilik hidayah sepenuhnya, namun hati manusia yang menentukan penerimaan hidayah itu.

Kita sebagai penjaga hati ini perlulah mengubah ia ke arah yang lebih baik. Kerana suatu ketika nanti di mana pemilik hati ini iaitu Allah S.W.T. akan menilai setiap perbuatan yang disebabkan oleh hati.

Oleh itu, jangan salahkan Allah kerana memilih insan untuk menerima hidayah tetapi salahkan diri kerana tidak menerima setiap petunjuk yang diberi. Dan yang paling penting adalah sentiasa bersangka baik dengan Allah S.W.T. kerana setiap sangkaan kita adalah penunjuk kekerasan hati.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

P/S: Kadang2 saya terfikir, kenapa Allah tak berikan semua manusia hidayahNya dan masukkan mereka ke dalam syurga. Kenapa perlukan neraka untuk menghukum. Alhamdulillah, persoalan ini terungkai secara sendirinya ketika sedang mengelamun.

1. Hidayah itu sentiasa ada, dan tunggu masa untuk hati meresapinya.
2. Allah jadikan dunia sebagai cabaran bagi umat manusia.
3. Sekeras mana pun hati, ia tetap akan mengubah mengikut aluran air hidayah. Cuma masa
    menentukan. Tapi ingatlah, lembutkanlah 'batu' mu itu.
4. Solat, berdoa, baca Al-Quran dan buat baik kepada org lain itu adalah cara untuk melembutkan hati
    untuk menerima hidayah bukan supaya hidayah itu datang kepada kita. Kerana hidayah itu ada
    setiap masa. Lihatlah dgn mata hati...

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------